Antropologi dan Sosiologi dan Kaitannya dengan Bidang Kesusasteraan Melayu
- Farah Hanum
- Dec 5, 2015
- 2 min read
Bidang Antropologi dan Sosiologi dengan Kesusasteraan Melayu saling berkait rapat antara satu sama lain. Sebagai seorang pelajar Antropologi dan Sosiologi, kami mengkaji tentang budaya dan masyarakat. Kajian ini merangkumi kajian mengenai adat resam, salasilah, asal usul dan berbagai lagi perkara yang sememangnya amat dekat dengan bidang Kesusasteraan Melayu.
Terdapat cabang di dalam bidang Antropologi dan Sosiologi yang berkaitan dengan bahasa. Bahasa merupakan elemen yang penting bagi sesuatu kelompok masyarakat untuk membezakan mereka dengan kelompok masyarakat yang lain dan berkongsi makna antara satu sama lain. Antara cabangnya adalah Antropologi Lingusitik dan juga Sosiologi Linguistik. Kedua-dua cabang ini berkaitan dengan bahasa yang diamalkan oleh sekelompok masayarakat tersebut.
Antropologi Linguistik mempelajari bahasa-bahasa dari berbagai suku bangsa di dunia ini. Bahasa memegang peranan penting dalam mempelajari kebudayaan sesuatu masyarakat. Hal ini kerana, melalui bahasa, kebudayaan sesuatu masyarakat itu boleh diturunkan dari generasi ke generasi yang berikutnya. Bidang ini juga mempelajari sejarah munculnya bahasa, pelbagai jenis bahasa termasuklah strukturnya, perubahan bahasa dari masa ke masa, kepelbagaian dan penyebaran bahasa di seluruh permukaan bumi ini. Dalam mengkaji bahasa, ianya hanya dapat ditelusuri dari manusia yang masih hidup atau bahasa yang tertulis di dalam tulisan.
Bagi mengkaji bahasa manusia yang belum mengenal tulisan adalah sangat sukar bagi seorang pengkaji Antropologi. Hal ini kerana, apabila kelompok masyarakat tersebut telah pupus, gambaran bahasa yang diamalkan juga akan turut pupus bersama. Namun begitu, bahasa mereka masih boleh ditafsirkan melalui gambar yang ditemui pada artifak, itu pun, jika ada. Tugas sebagai Antropologi Linguistik adalah mengumpulkan senarai kata, melukis ciri atau tatabahasa yang digunakan dari berbagai-bagai kelompok bangsa. Dengan mengenal bahasa secara teorinya sesuatu kelompok manusia itu secara teorinya, para pengkaji dapat mempelajari kebudayaan yang diamalkan dan juga perubahan yang berlaku dalam kelompok tersebut.
Manakala, bidang Sosiologi Linguistik atau lebih dikenali sebagai Sosiolingustik pula adalah mengkaji hubungan antara bahasa dan masyarakat penuturnya. Ilmu ini merupakan kajian terhadap kepelbagaian penggunaan bahasa masyarakat dalam sesebuah aliran komunikasi yang dialami. Kepelbagaian dalam kajian ini merupakan masalah utama yang dipengaruhi atau mempengaruhi perbezaan aspek sosiobudaya yang dialami dalam masyarakat. Kemunculan bidang ini merupakan idea yang terbina hasil daripada perdebatan yang panjang dari pelabagai lapisan generasi dan aliran.
Kesimpulannya, di dalam mempelajari Kesusasteraan Melayu terkandungnya bahasa yang dapat dikaji melalui cabang-cabang yang terdapat di dalam bidang Antropologi dan Sosiologi. Setiap masyarakat mempunyai identiti dan simbol yang diamalkan oleh mereka yang dikongsi bersama dan turut memberi makna kepada masyarakat yang lain. Oleh itu, bidang ini amat penting dalam membezakan hasil-hasil karya Kesusasteraan Melayu mengikut kelompok masyarakat yang ada di dunia ini.
Sekian, terima kasih.
Comments