top of page
Search

Sains Pembangunan dan Kaitannya dengan Kesusasteraan Melayu

  • Azim Azmi
  • Dec 7, 2015
  • 4 min read

PENGENALAN SAINS PEMBANGUNAN

Sains Pembangunan atau lebih dikenali sebagai SP di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan program yang berada di bawah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan, dan Persekitaran (PPSPP).

Secara dasarnya manusia dan ekonomi tidak boleh dipisahkan kerana ianya saling berkaitan di dalam kehidupan. Namun, UKM telah memisahkan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Saya agak tertarik dengan nama program tersebut sehingga membuatkan saya meletakkan Program Sains Pembangunan sebagai pilihan utama saya semasa mengisi UPU. Secara jujurnya pada semester pertama di UKM kami tidak memahami apakah sebenarnya Sains Pembangunan namun setelah berada di sini selama hampir tiga (3) tahun, kami telah memahami apakah sebenarnya bidang yang kami pelajari ini. Ramai diantara pelajar tahun satu (1) ketika itu beranggapan pembangunan adalah mengenai pembangunan bangunan dan infrastruktur. Namun sebenarnya skop kajian atau bidang kami adalah melibatkan manusia dan juga pembangunan negara. Selain daripada nama programnya yang unik, terdapat juga keunikan lain Program Sains Pembangunan ini iaitu hanya di Universiti Kebangsaan Malaysia sahaja terdapat program tersebut. Sebagai seorang pelajar Program Sains Pembangunan, kami berasa bangga kerana menjadi salah seorang ahli keluarga Sains Pembangunan kerana jumlahnya yang terhad di Malaysia ini.

Program Sains Pembangunan ini merupakan program yang istimewa kerana seorang pelajar Sains Pembangunan itu akan belajar pelbagai bidang selama tiga (3) tahun ini. Antara subjek atau bidang yang setiap pelajar Sains Pembangunan akan tempuhi adalah subjek Sejarah, Geografi, Bahasa Melayu, Ekonomi, Perancangan Bandar dan Wilayah, Perakaunan dan sebagainya. Ini menjadikan seorang pelajar Sains Pembangunan itu serba boleh dan boleh untuk menceburi pelbagai bidang apabila tamat pengajian kelak. Selain daripada pelbagai subjek yang dipelajari, pelajar Sains Pembangunan juga akan dilengkapkan dengan pelbagai kaedah kerja lapangan. Setakat ini, sebanyak lima (5) kerja lapangan yang telah pelajar Sains Pembangunan lakukan di pelbagai lokasi. Antara lokasi tersebut adalah di Hulu Selangor, Sabak Bernam, Bandaraya Melaka, Negeri Sembilan, dan Perak. Ini kerana pelajar harus melihat kepada keadaan semasa di lapangan bukan sekadar bergantung kepada teori pensyarah sahaja.

Kesusasteraan Melayu merupakan satu bidang ilmu yang luas. Ianya berada segaris dengan bidang keilmuan lain seperti sejarah, bahasa, sains, teknologi dan sebagainya. Sebagai suatu bidang ilmu Kesusasteraan Melayu akan menyingkap segenap perkara berkaitan dengan corak penciptaan karta sastera, bentuk pengucapan, sejarah perkembangan bangsa, reaksi kritis terhadap karya, dan hubungan karya sastera dengan penulis dan masyarakat. Termuat sama di dalam lingkungan ilmu sastera ini ialah alam fikiran pengarang yang memungkinkan memberi kesan terhadap pembentukan sifat karya itu sendiri. Sifat karya sastera pula dibentur oleh pelbagai inovasi dan faktor luaran yang menjelmakan sifat karya itu sendiri. Zaman tradisi ditandai oleh karya-karya seperti pantun, syair, seloka, nazam, gurindam dan sebagainya. Manakala dalam bentuk prosa pula ia melibatkan sastera sejarah, sastera hikayat, epik, cerita berbingkai dan lainnya. Begitu pula karya-karya yang muncul pada era pemodenan yang terdiri dari cerpen, novel, sajak dan drama. Sifat-sifat karya ini pula perlu diteliti dengan menggunakan kayu ukur yang sesuai dengan zaman dan era penghasilannya. Ia tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya kerana penelitian karya sastera perlu berpegang kepada objektifannya. Ia bukan penelitian berpandukan perasaan dan rasa hati.

Kaitan diantara Program Sains Pembangunan dan Kesusasteraan Melayu adalah daripada segi budaya dimana sebagai seorang pelajar Sains Pembangunan, kami banyak melibatkan kajian mengenai budaya sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, pelajar Sains Pembangunan UKM telah menjalankan satu kajian mengenai etnik Orang Asli di Kampung Guntur, Negeri Sembilan. Pelajar Sains Pembangunan melakukan kerja lapangan selama 3 hari 4 malam. Kami mendapat pelbagai data atau maklumat yang pelbagai seperti daripada segi bahasa, budaya, amalan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

Aspek terakhir diberi penekanan adalah Pembangunan Negara. Elemen-elemen politik seperti kepimpinan, nasionalisme serta peraturan dan perundangan menjadi penting terhadap pembangunan negara. Dalam Sulalatus Salatin bagaimana elemen politik terpancar dalam ketokohan dan kewibawaan kepimpinan yang membawa Melaka ke tahap kegemilangan. Politik juga dikaitkan dengan keupayaan pemimpin menggerakkan kemajuan dan perubahan negara sebagaimana dilakukan oleh Sultan Mansur Syah Melaka termasuklah nilai kepimpinan yang ada pada Bendahara Paduka Raja dan Tun Mutahir. Konsep daulat dan derhaka, wasiat, ketaatan dan kesetiaan juga lahir sebagai elemen politik yang kuat. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur melihat kepada aspek kedinamisan kepimpinan dalam menggerakkan perubahan dalam dunia dagang. Ia ditambah dengan unsur hubungan awam, stail kepimpinan dan sebagainya. Tidak terlapas dari saringan politik adalah bagaimana nasionalisme tercetus dalam masyarakat. Melaka berhadapan dengan cabaran dan penentangan dari Siam, Majapahit, dan sebuah negara jauh China. Semangat cinta akan negara yang dipancarkan secara bijaksana oleh pengarang melalui hubungan China Melaka, Majapahit Melaka dan seterusnya keupayaan bangsa Melayu melawan serangan penjajah. Semangat cinta akan negara juga dilakarkan dalam Saudagar Besar dari Kuala Lmpur. Elemen terakhir dari pengaruh pembangunan negara adalah peraturan dan undang-undang. Bagaimana peraturan dan undang-undang menjadi unsur penting pembentukan pembangunan negara. Jika dilihat ke dalam Sulalatus Salatin kita akan bertemu dengan pelbagai peraturan dan perundangan seperti Susun Tertib dan Adat Istiadat Diraja, akibat derhaka, waad dan sebagainya. Kita dapat melihat bagaimana peraturan dan perundangan membina kekuatan Melaka untuk menjadi negara besar yang berkembang dan disegani. Dalam masyarakat moden pula Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mencerminkan kehidupan masyarakat mengecap nikmat merdeka dan pertumbuhan pembangunan negara. Elemen peraturan dan perundangan diterapkan yang berkait dengan rasuah, kuasa dan perlembagaan.

Kesimpulannya, berikut merupakan secara ringkas bagaimana ilmu sastera itu dapat dikaitkan dengan ilmu Sains Pembangunan. Perkara yang penting adalah dimana pengisian sastera sebagai alat komunikasi yang dapat memberi impak dan kesedaran terhadap masyarakat dapat dikaji dengan jelas.


 
 
 

Comments


RECENT POSTS:
SEARCH BY TAGS:
bottom of page